MAC 2023

Sarawak Pilihan Pelabur Asing


KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berbincang dengan konsortium pelaburan dari Malaysia dan China yang berminat untuk melabur dalam pengilangan bahan hijau.

Awang Tengah dalam satu kenyataan media berkata, konsortium itu adalah antara ramai pelabur luar negara yang menaruh minat untuk melabur di negeri ini.

Pelabur menaruh minat untuk melabur di negeri ini disebabkan memiliki banyak keistimewaan termasuk memiliki tenaga hidro hijau yang boleh menjadikan kilang mereka bebas pelepasan karbon, katanya.

Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan berkata, Sarawak mengalu-alukan pelaburan sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid (PCDS) 2030 bagi mewujud situasi menang-menang melalui kemakmuran ekonomi, masyarakat inklusif dan kelestarian alam sekitar.

Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Datuk Malcol Mussen Lamoh, Penasihat (SME) MINTRED, Datuk Mohd. Naroden Majais dan pegawai kanan EPU Sarawak, RECODA, SEB, LAKU, DOE, NREB dan BDA dengan Awang Tengah sebagai pemudah cara syarikat terbabit.

Sumber dari : Jiwa Bakti